Apakah Penyakit Tak Berjangkit? Dr. Hidayatul Radziah Ismawi



Sumber Gambar: healthymalaysianfamily.com

Penyakit tak berjangkit ialah epidemik yang sedang melanda Malaysia pada masa kini. Buat masa sekarang, ia suatu beban kepada kesihatan negara. Tetapi, adakah kita semua tahu apakah sebenarnya penyakit tak berjangkit?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit tak berjangkit, kebanyakannya adalah penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan dari seorang individu kepada individu yang lain. Penyakit-penyakit ini biasanya berkembang perlahan-lahan dan bertahan untuk masa yang lama, selalunya sepanjang hayat.

Penyakit tak berjangkit boleh dibahagikan kepada:

  1. Penyakit kardiovaskular (jantung dan salur darah) seperti serangan jantung, strok, tekanan darah tinggi/hipertensi, hiperkolesterolemia/kolesterol tinggi)
  2. Barah/kanser
  3. Penyakit pernafasan kronik seperti penyakit peparu sesak/tersumbat yang kronik dan lelah
  4. Diabetes/kencing manis
  5. Penyakit mental
  6. Penyakit yang berkaitan dengan atau disebabkan oleh kecederaan yang pernah dialami

Dalam Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2011, kita dapat tahu bahawa:

DIABETES MELLITUS/KENCING MANIS

  • 15.2% (2.6 juta) orang dewasa (18 tahun dan ke atas) menghidap diabetes.
  • 7.2% diketahui menghidap diabetes.
  • 8.0% baru didiagnos(dikesan) menghidap diabetes.

HIPERTENSI/TEKANAN DARAH TINGGI

  • 32.7% (5.8 juta) orang dewasa (18 tahun dan ke atas) menghidap hipertensi.
  • 12.8% diketahui menghidap hipertensi.
  • 19.8% baru dikesan menghidap hipertensi.

HIPERKOLESTEROLEMIA/KOLESTEROL TINGGI

  • 35.1% (6.2 juta) orang dewasa (18 tahun dan ke atas) menghidap paras kolesterol tinggi.
  • 8.4% diketahui menghidap paras kolesterol tinggi.
  • 26.6% baru dikesan dengan paras kolesterol tinggi.

Angka-angka ini menggerakan. Namun begitu, jangan bimbang; perubahan cara hidup memainkan peranan penting dalam menangani faktor risiko terubahsuai untuk penyakit tak berjangkit. Pertamanya, kita harus faham bahawa terdapat 2 jenis faktor risikoiaitu tak terubahsuai (perkara yang tidak boleh kita ubah, misalnya umur, jantina, dan etnik) dan terubahsuai (perkara yang boleh kita ubah).

Mari kita tangani dua faktor risiko terubahsuai yang terbesar untuk penyakit tak berjangkit; tabiat makan tidak sihat dan kelengaian fizikal. Bagaimana caranya?

Kita seharusnya menerima fakta bahawa kelebihan berat badan dan kegemukan ialah ancaman kesihatan yang nyata.

Kita perlu menerapkan amalan pemakanan sihat di kalangan rakyat Malaysia. Dengan makanan tempatan yang lazat, ia bagaikan mustahil, tetapi sebenarnya tabiat pemakanan sihat boleh dicapai. Kurang lemak, kurang minyak, kurang garam, kurang gula. Carilah jalan untuk mengekalkan perisa tetapi mengurangkan bahaya. Kreatiflah!

Amalkan kehidupan aktif (aktiviti fizikal)/bersenam. Pergilah berjalan kaki, bersiar-siar, bermain bola dengan anak-anak, gunakan tangga, berenang, tunggang basikal ke tempat kerja, janganlah duduk sahaja!

Kita patut berwaspada dengan faktor-faktor risiko penyakit tak berjangkit yang lain dan sedar akan kepentingan saringan awal dan berkala (contohnya sejarah keluarga, status merokok, tekanan mental, salahguna alkohol, dislipidemia/paras lemak tak seimbang dalam darah, hipertensi dan paras gula tinggi). Pokoknya, ambil peduli dengan status kesihatan diri sendiri. Jangan bersikap acuh tak acuh akan kesihatan kita.

Sebagaimana masalah lain, langkah pertama ialah dengan mengakui penyakit tak berjangkit ini adalah satu masalah, bukan perkara ‘normal’. Sebaik sahaja itu kita lakukan, yang selebihnya tak semestinya mudah, tapi itukan satu langkah permulaan? Maka, daripada menerima penyakit tak berjangkit sebagai harga kemodenan, kita seharusnya serius dalam mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memastikan kita tidak membayar harga tersebut dengan nyawa.

Dr. Hidayatul Radziah Ismawi merupakan Ketua Editor “The Malaysian Medical Gazette”. Beliau sedang melanjutkan pelajaran beliau ke peringkat Doktor falsafah (PhD) di dalam bidang Farmakologi dan kini merupakan pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan di Malaysia. Baca lebih lanjut mengenai beliau di Laman ini di bahagian “The Team page”. Artikel ini diterjemah oleh Encik Azizul Ismie dari artikel http://www.mmgazette.com/what-are-non ... hidayatul-radziah-ismawi/

Rujukan:

  • National Health and Morbidity Survey 2011 (Fact Sheet)
  • Non communicable diseases (WHO) March 2013
  • National Strategic Plan for Non Communicable Disease (2010-2014)

Sumber Artikel: The Malaysian Medical Gazette



Published by Lio on 11.03.2016 (1503 reads)
Print article

Lain-Lain Artikel Secara Rawak:





Antara Artikel Baru Lain Dalam Kategori Ini: