Lawatan Kerja Anggota HKP Bersama Ahli Lembaga Pelawat HKP Ke Hospital Labuan


Pada 12 Julai 2013 lalu, Anggota Hospital Kuala Penyu (HKP) bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) telah melakukan lawatan kerja ke Hospital Labuan. Lawatan ini bertujuan untuk memperkasakan lagi aktiviti pelaksanaan 5S, ISO dan aktiviti Ahli Lembaga Pelawat Hospital di Hospital Kuala Penyu.

Seramai 24 orang dari Hospital Kuala Penyu telah turut serta dalam lawatan ini. Rombongan telah diketuai oleh Pengarah HKP, Dr Esmar Bin Abdul Hamid bersama Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HKP, Encik Dirih @ Sebastian Anjim. Rombongan telah tiba di Pulau Labuan sehari sebelum lawatan iaitu pada 11 Julai untuk beristirehat sebelum melakukan lawatan pada keesokan harinya pada 12 Julai.


Pada hari lawatan, ketibaan rombongan Hospital Kuala Penyu telah disambut oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Labuan, Encik Wong Foo Leong bersama anggota ALP Hospital Labuan yang lain serta kakitangan Hospital Labuan.

Sebagai pembuka majlis, Dr Rameswaran Muthu, Pengarah Hospital Labuan telah memberikan ucapan alu-aluan sebelum ucapan balas oleh Pengarah HKP, Dr Esmar Bin Abdul Hamid. Seterusnya, rombongan Hospital Kuala Penyu telah diberi taklimat ringkas mengenai Hospital Labuan termasuk aktiviti perlaksanaan 5S dan juga aktiviti Ahli Lembaga Pelawat Hospital Labuan.

Aktiviti lawatan kerja ini diteruskan dengan rombongan dipecahkan ke beberapa bahagian tertentu untuk membuat lawatan sambil belajar ke unit-unit yang terdapat di Hospital Labuan dengan diiringi kakitangan Hospital Labuan. Sepanjang lawatan kerja ini, rombongan Hospital Kuala Penyu telah dapat melihat sendiri amalan-amalan terbaik di Hospital Labuan untuk diaplikasi di Hospital Kuala Penyu. Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderakenangan.

Galeri Gambar Lawatan Ahli Lembaga Pelawat HKP Bersama Anggota HKP Ke Hospital Labuan 11-13 Julai 2013

Sementara itu, selain dari aktiviti lawatan kerja, sempena Bulan Ramadhan, Majlis Berbuka Puasa turut diadakan di Kelab Golf Labuan. Akhir sekali, sebagai aktiviti sampingan sebelum bertolak balik ke Kuala Penyu rombongan juga telah membeli belah dan melawat tempat-tempat menarik sekitar Pusat Bandar Labuan.





Published by Lio on 14.07.2013 (2440 reads)

Tags: lawatan   kerja  

Print article


Lain-Lain Artikel Secara Rawak: